Amirulhadi

Oleh Ku Mohd Lufti

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyifatkan keputusan empat pemain JDT yang bersara daripada skuad kebangsaan sebagai merugikan negara.

Malah baginda bertitah, kesemua pemain yang terlibat sepatutnya berbincang dengan badan induk bola sepak negara tentang masalah yang dihadapi sebelum mengambil tindakan sedemikian.

“Saya kena dapat laporan, saya sendiri pun baharu saja mendapat tahu berita ini. Memang saya tahu kita (pemain) kena bersara suatu hari nanti tetapi kalau nak bersara awal tanpa tahu sebabnya ia merupakan satu kerugian,” titah baginda.

Sejak Selasa lepas, empat pemain JDT dalam pasukan kebangsaan iaitu Aidil Zafuan Abdul Razak, Safiq Rahim, S Kunalan dan Amirul Hadi mengumumkan persaraan daripada skuad Harimau Malaysia.

Tindakan mereka itu mencetuskan pelbagai tanda tanya dan kebimbangan di kalangan peminat bola sepak negara berikutan khidmat mereka masih diperlukan bagi menguatkan pasukan negara yang kini berada di ranking 167 bola sepak dunia.

Dalam masa yang sama baginda tetap menghormati keputusan empat tunggak utama pasukan kebangsaan itu.

Tengku Abdullah bagaimanapun enggan membuat sebarang andaian berhubung perkara itu, walaupun ada pihak mengandaikan satu usaha untuk ‘mensabotaj’ FAM.

Berhubung tindakan yang bakal diambil terhadap empat pemain berkenaan Tengku Abdullah menyatakan baginda menyerahkan perkara itu kepada FAM.

Menteri Belia dan Sukan, Kahiry Jamaluddin Abu Bakar dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Tengku Abdullah bagi mendapatkan penjelasan serta jalan penyelesaian bagi perkara ini.

- Advertisement -